Rekreasi Dan Pelancongan
Aktiviti Sukan Lasak ATV Manong
Aktiviti sukan lasak yang menggunakan jentera 4 roda iaitu “All Terrain Vehicles” atau dikenali dalam singkatan ATV semakin mendapat sambutan di negara ini. Aktiviti ekstrim ini kini boleh didapati di Manong iaitu di Kg Jeliang kira-kira 6 km dari Pusat Internet Pekan Manong. ATV Manong semakin mendapat perhatian dalam kalangan penggemar sukan ekstrem sama ada bagi yang pernah mencuba dan pertama kali mencuba. Kebanyakan pelanggan ATV Manong adalah dari pelancong luar kawasan dari Manong malah pelancong asing juga turut datang dari jauh hanya semata-mata untuk bermain ATV. Malah, pada setiap minggu pasti akan ada kumpulan-kumpulan datang untuk bermain kerana kawasaan untuk beraksi dengan ATV adalah sangat mencabar dan menyeronokkan seperti meredah kawasan ladang dan sungai. ATV Manong beroperasi pada setiap hari dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang. Tawaran yang ditawarkan pada masa ini hanya satu iaitu pakej berkumpulan dari 15 hingga ke 20 orang. Harga tawaran adalah berpatutan pada hari bekerja adalah RM800 dan RM1000 pada cuti hujung minggu dan cuti umum termasuk sarapan pagi dan makan tengahari. Untuk dapatkan maklumat lebih lanjut boleh layari “facebook” iaitu ATV Manong.
Lata Pecah Batu
Lata Pecah Batu merupakan kawasan yang menarik bagi tujuan rekreasi dan sebagai kawasan kem motivasi dan kepimpinan. Lata Pecah Batu ini terletak di dalam sebuah perkampungan yang bernama Kampung Pecah Batu iaitu kira-kira 5 km dari Pusat Internet Pekan Manong. Kawasan persekitaran yang lapang memudahkan pelbagai aktiviti untuk dijalankan malah terdapat juga kemudahan meletak kenderaan seperti bas dan kereta, pondok-pondok rehat, tandas serta tapak perkhemahan yang luas bagi tujuan kem kepimpinan. Pelbagai agensi telah mengadakan kem kepimpinan di Lata Pecah Batu seperti pelajar universiti, pelajar sekolah dan pelatih tentera dibawah kelolaan penduduk tempatan sendiri iaitu Encik Yeop Mat Alit Bin Chu Jaat.
Bunga Rafflesia
Seperti yang kita sedia maklum Bunga Rafflesia sangat terkenal di negara Malaysia dan merupakan bunga paling besar dan sukar untuk dijumpai malah kebanyakkannya hanya boleh ditemui di Bengkulu, Sabah. Walaubagaimanapun, Bunga Rafflesia ini telah memberi suatu kejutan kepada penduduk Manong kerana Bunga Rafflesia ini juga tumbuh di Gunung Pecah Batu. Bunga ini telah ditemui oleh penduduk kampung yang melakukan aktiviti “jungle trekking” di hutan tersebut. Penemuan bunga ini masih menjadi perbualan penduduk kerana masih ramai lagi penduduk Manong yang tidak mengetahui akan kewujudan Bunga Rafflesia. Ia menjadi suatu simbolik berharga kerana Manong juga mempunyai khazanah alam yang sukar ditemui dan menjadi suatu daya tarikan yang unik dan menarik kepada pengunjung luar.
Kolam Air Panas Ara Panjang
Kewujudan kolam air panas di Kampung Ara Panjang menjadi suatu daya tarikan pelancongan di Manong. Jarak dari Pusat Internet Pekan Manong hanya 6km sahaja ke kolam air panas. “Bendang Nganyat” merupakan panggilan nama yang diberikan oleh penduduk kampung kerana kerana kawasan tersebut dahulunya merupakan kawasan bendang yang mengeluarkan air hangat (nyangat) secara semula jadi. Dikatakan kolam air panas ini mampu menyembuh penyakit kulit dan dapat memberi pengunjung merehatkan minda sambil merendam kaki di dalam kolam air panas. Keindahan landskap semula jadi yang cantik menjadi suatu daya tarikan kepada para pengunjung malah kawasan ini pernah dijadikan sebagai ilham kepada para pelukis dari Persatuan Pelukis Perak (PPP) dalam program plein air. Kolam Air Ara Panjang mampu dikomersialkan kerana ia mempunyai sejarah yang tersendiri dan kini dalam perancangan untuk dinaiktarafkan lagi setanding dengan kolam air panas lain yang terdapat di negeri Perak.
Kedai Pau
Apabila bercakap mengenai pau tersedap, Pau Manong menjadi sebutan yang pertama bagi penggemar pau di Kuala Kangsar. Kedai Pau ini diusahakan oleh syarikat tempatan sendiri iaitu Azim Bestari Enterprise. Hal ini kerana, Pau yang terdapat di Pekan Manong menyajikan pelbagai jenis Pau seperti Pau Kelapa, Pau Kacang, Pau Daging, Pau Ayam, Pau Kaya dan Pau Coklat. Pau yang dijual pada harga yang sangat berpatutan dan kuantiti inti yang terdapat didalam pau agak banyak berbanding pau-pau yang lain. Kedai Pau ini berderetan dengan Bank Simpanan Nasional, di Pekan Manong.
Cendol Pulut Lempor
Cendol Pulut Lempor adalah nama yang sangat sinonim dengan penggemar cendol pulut bukan sahaja bagi penduduk setempat malah pengunjung dari jauh juga sanggup mengunjungi Gerai Cendol Pulut Lempor hanya semata-mata untuk merasai cendol yang dikatakan paling sedap di Kuala Kangsar. Gerai ini beroperasi pada setiap hari kecuali hari Jumaat iaitu Isnin hingga hari Khamis dari jam 9:00 pagi hingga jam 6 petang, manakala pada hari sabtu dan ahad dibuka pada jam 9:00 pagi hinggan 6:30 petang. Gerai Cendol Pulut Lempor menyajikan pelbagai jenis cendol pulut seperti Cendol Pulut Biasa, Cendol Pulut Kacang Merah dan Cendol Pulut Jagung. Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati menu lain seperti Laksa, Nasi Ayam dan Bihun Sup.