Pendidikan
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin Shah
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin (SMKSTA), Manong, Perak, satu-satunya sekolah menengah di Mukim Senggang, Kuala Kangsar, Perak. Sekolah ini hanya terletak 200 meter sahaja dari Pusat Internet Manong. Sekolah ini bermula dengan sistem pendidikan aneka jurusan pada Januari 1965. Pelajarnya ketika itu berjumlah 154 orang dengan gurunya sebanyak 7 orang termasuk pengetuanya yang pertama, iaitu Encik Zakaria bin Yassin. Kelasnya terdiri daripada 3 kelas Tingkatan 1 aliran bahasa Melayu dan 1 kelas peralihan aliran bahasa Inggeris yang ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Manong. Pelajar sekolah ini terdiri daripada murid lepasan Darjah 6 dari SK dalam Mukim Senggang, iaitu SK Ulu Kenas, SK Kuala Kenas, SK Lempor, SK Jeliang, SK Ara Panjang, SK Ulu Piol, SK Manong dan SK Bekor.
Pembinaan bangunan SMKSTA (blok A dan blok B) bermula pada tahun 1966 dan siap pada tahun 1967. Semua pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dipindahkan ke bangunan baharu dengan nama Sekolah Menengah Rendah Manong, Kuala Kangsar, Perak. Kumpulan pertama Tingkatan 3 mula menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun 1967 dengan keputusan yang cemerlang apabila seorang pelajar telah berjaya memperoleh 6 agregat. Pelajar lelaki yang berjaya dalam SRP dan LCE menyambung pelajaran Tingkatan 4 ke SMK Clifford, Kuala Kangsar manakala pelajar perempuan ke SMK Raja Perempuan Kelsom (Government English Girl's School), Kuala Kangsar.
Tingkatan 4 aliran sastera di sekolah ini bermula pada tahun 1969 apabila bangunan blok C siap. Pada tahun 1970, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Sultan Tajul Ariffin (SEMESTA). Tingkatan 4 aliran sains pula ditubuhkan pada tahun 1975. Pembangunan sekolah ini diteruskan dengan pembinaan bangunan blok D (1978), blok E, blok F, blok G dan Dewan Besar (2010). Pengetua sekolah ini terdiri daripada Encik Abdul Shukor bin Abdullah (1971, ke-2), Encik Azidin bin Mahmud (1973, ke-3), Encik Shaharuddin bin Ahmad Kamal (1976, ke-4), Encik Ahmad Bashah bin Hj. Hashim (1983, ke-5), Pn. Hjh. Zawiyah binti Ahmed (1991, ke-6), Tn. Hj. Kamaruddin bin Abd. Ghani (1993, ke-7), Encik Zainal Abidin bin Manas (1997, ke-8), Tn. Hj. Mohd. Isa bin Yop Hamzah (1998, ke-10), Encik Azam bin Mahmod (ke-11), Pn. Hjh. Norliah binti Mohd. Lazim (ke-12) dan kini Tn. Hj. Mohd. Kamil bin Ab. Rahman (2009, ke-13).
SMKSTA juga memiliki kemudahan asrama untuk menampung pelajar=pelajar miskin dan menghadapi masalah pengangkutan ke sekolah. Asrama ini boleh menampung 40 orang pelajar dan hanya membenarkan pelajar perempuan sahaja yang menghuni asrama tersebut memandangkan kemudahan yang disediakan adalah terhad.
Sekolah Kebangsaan (SK) Manong
Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Manong terletak 200 meter dari Pekan Manong yang berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin Shah. Sekolah ini mempunyai cerita sejarah yang tersendiri dan unik kerana penubuhan asal sekolah ini adalah dari hasil usaha penduduk kampung dalam membina sekolah. Misi sekolah ini ialah “Menjana Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Manong Yang Berkesan” dan visi ialah “Sekolah Kecemerlangan Terbilang Menggapai Sekolah Berpretasi Tinggi 2015”.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Manong
Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Manong atau nama ringkasnya SJK(C) Manong, merupakan sebuah Sekolah jenis kebangsaan Cina yang terletak di Jalan Besar, Pekan Manong. Sekolah ini terletak berhadapan dengan Pusat Internet Pekan Manong. Murid sekolah ini mempunyai murid terdiri dari pelbagai kaum seperti Melayu, India dan Cina. Kesemua pelajar di sekolah ini tidak kira kaum fasih berbahasa cina.
Giat Mara Kuala Kangsar Cawangan Manong
Giat Mara Kuala Kangsar Cawangan Manong adalah satu-satunya pusat pembelajaran. Pusat ini terletak di kawasan rancangan rumah awam 2 & 3 di Manong dan jaraknya dari Pusat Internet 1 Malaysia hanyalah 1km sahaja. Para pelajar bukan sahaja dari golongan belia malah dari golongan ibu bapa juga turut terlibat dalam pembelajaran yang ditawarkan oleh pihak Giat Mara seperti tawaran khusus pendek menjahit. Khusus penuh yang ditawarkan di pusat ini ialah Pembuatan Pakaian Wanita (PPW), Pendawaian Elektrik Domestik (PED) dan Khusus Hiasan Dalaman.